Dato' Sri Dr. Mohd Uzir Mahidin
Ketua Perangkawan Malaysia
Perutusan Ketua Perangkawan
Assalamualaikum wbt dan Salam Sejahtera.
Selamat datang ke Portal Rasmi Banci Ekonomi 2026 (BE2026).
Banci Ekonomi 2026 merupakan sebuah inisiatif nasional berimpak tinggi yang memperkukuh peranan data sebagai teras kepada perancangan dan pembangunan negara. Sebagai banci ekonomi yang ke-6 dilaksanakan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), BE2026 melangkah ke hadapan dengan pendekatan yang lebih strategik, komprehensif dan berpaksikan masa hadapan.
Pengumpulan data yang dilaksanakan meliputi peringkat yang lebih granular sehingga ke daerah pentadbiran, kawasan parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN). Ini membolehkan gambaran ekonomi negara dirangka dengan lebih tepat, terperinci dan berasaskan realiti sebenar di setiap lokasi. Pendekatan ini menandakan komitmen berterusan ke arah membangunkan ekosistem statistik negara yang bersepadu, inklusif dan berdaya saing di peringkat global.
BE2026 merangkumi sektor utama ekonomi negara iaitu Perkhidmatan, Pembuatan, Perlombongan & pengkuarian, Pembinaan dan Pertanian, dengan liputan melebihi 1.3 juta pertubuhan perniagaan. Skala pelaksanaan ini menjadikan BE2026 sebagai platform pengumpulan data ekonomi terbesar negara yang mewakili denyut nadi aktiviti ekonomi Malaysia yang sebenar dan menyeluruh.
Selaras dengan perubahan landskap ekonomi yang semakin dinamik dan dipacu teknologi, BE2026 memperluaskan skop pengukuran melangkaui aktiviti tradisional. Tumpuan turut diberikan kepada sektor-sektor strategik baharu seperti tenaga boleh baharu, teknologi hijau, ekonomi digital, ekonomi gig serta perusahaan berasaskan inovasi. Ini penting bagi memastikan statistik yang dihasilkan kekal relevan, responsif dan mampu menyokong penggubalan dasar yang berimpak tinggi.
Buat julung kalinya, BE2026 memperluaskan liputan kepada sektor informal bagi memastikan gambaran ekonomi negara yang lebih inklusif dan realistik. Inisiatif ini menyokong penggubalan dasar yang lebih bersasar serta menepati prinsip “no one is left behind.”
Seiring dengan mandat DOSM, saya ingin menegaskan bahawa semua maklumat yang diberikan oleh responden adalah SULIT dan dilindungi sepenuhnya di bawah peruntukan Akta Perangkaan 1965 (Disemak 1989). Kerahsiaan dan keselamatan data sentiasa menjadi keutamaan dalam pelaksanaan banci ini.
Kejayaan BE2026 amat bergantung kepada sokongan dan kerjasama semua pihak termasuklah pertubuhan perniagaan, agensi kerajaan, persatuan industri serta seluruh rakyat Malaysia. Penyertaan aktif semua pihak adalah penting dalam memastikan data yang dikumpulkan berkualiti tinggi dan dapat dimanfaatkan sepenuhnya untuk pembangunan ekonomi negara.
Akhir kata, saya merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua pihak atas sokongan padu dalam menjayakan agenda nasional ini.
Dato' Sri Dr. Mohd Uzir Mahidin
Ketua Perangkawan Malaysia
Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM)